Kementerian Pendidikan kaji beban buku dibawa murid ke sekolah

Terdapat garis panduan berhubung jumlah buku dan berat yang dibenarkan terhadap murid dan jumlah maksimum yang dibenarkan adalah 10 buah buku sahaja.

BATU GAJAH: Kementerian Pendidikan akan pergi ke beberapa sekolah rendah di negara ini untuk mengkaji jumlah buku yang dibawa murid setiap hari ke sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan jumlah buku yang dibawa murid sekolah tidak terlalu berat seterusnya membebankan mereka setiap hari.

Menurut beliau, jumlah buku latihan tambahan yang dibawa murid itu bergantung kepada guru serta sekolah dan kebanyakan aduan yang diterima membabitkan pelajar dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).

Beliau menambah, dikatakan ramai yang mendakwa guru di sekolah terbabit banyak memberikan buku latihan tambahan.

“Bagaimanapun saya tidak pasti dakwaan itu sama ada benar atau tidak dan maklumat lengkap mengenai masih belum peroleh,” kata kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Batu Gajah di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO diminta mengulas laporan muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai bebanan buku tambahan yang terpaksa dibawa pelajar sekolah rendah di negara ini.

Katanya, terdapat garis panduan berhubung jumlah buku dan berat yang dibenarkan terhadap murid dan jumlah maksimum yang dibenarkan adalah 10 buah buku sahaja.

 

Source : http://www.astroawani.com/berita-malaysia/kementerian-pendidikan-kaji-beban-buku-dibawa-murid-ke-sekolah-150195

Newsletter Powered By : XYZScripts.com