Kesan Beg Sekolah Berat Pada Murid & Kementerian Pelajaran Perlu Prihatin

Kesanbegsekolah
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengucapkan ribuan terima kasih atas pandangan dan cadangan yang diberikan dalam perkara ini.
Pada tahun 2003, kementerian telah menjalankan kajian khusus mengenai isu beg berat bagi mengenal pasti punca sebenar yang menyumbang kepada beg berat. Kajian ini melibatkan semua jenis sekolah rendah di beberapa buah negeri di Selangor, WP Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
Dalam kajian tersebut, buku-buku teks KBSR bagi Tahun 1 hingga Tahun 6 telah ditimbang. Hasil kajian mendapati berat sebenar keseluruhan buku teks adalah di antara 2.8kg – 3.0kg sahaja. Untuk makluman, berat tersebut merupakan berat keseluruhan buku teks KBSR bagi sesuatu tahun. Berat buku teks ini akan jauh berkurang sekiranya murid membawa buku teks mengikut jadual waktu harian. Langkah kerajaan menyediakan buku teks secara jilid juga adalah bertujuan untuk mengurangkan berat beg yang dibawa oleh murid khususnya murid Tahap 1.
Dapatan kajian juga menunjukkan berat beg yang dibawa oleh murid disebabkan mereka membawa barang-barang lain, di antaranya ialah buku kerja tambahan, buku rujukan, botol air dan kotak pensil.
KPM megakui bahawa kesan negatif seperti implikasi kesihatan akan dihadapi oleh murid khususnya Tahun 1 dan Tahun 2 akibat daripada berat berlebihan bagi beg sekolah mereka. Bagi mengatasi hal ini, ibu bapa juga adalah disaran untuk menyemak jadual waktu setiap hari bagi memastikan buku dan barang-barang yang dibawa oleh anak-anak mereka ke sekolah adalah berkaitan sahaja. Manakala guru kelas pula ada menyediakan tempat menyimpan buku latihan yang tidak digunakan sebagai kerja rumah di kelas masing-masing.
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merujuk kepada Laporan akhbar dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 24 & 25 Mac 2010 – Kesan beg sekolah berat pada murid & Kementerian Pelajaran perlu prihatin.
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
Newsletter Powered By : XYZScripts.com