Tangani Masalah Beg Berat Secara Rasional

angkat beg sekolah_photo

Saudara Pengarang,
BANYAK yang telah diperkatakan mengenai beg sekolah berat dan ramai di antara kita mula menyoal dasar-dasar Kementerian Pendidikan tetapi tiada cadangan atau langkah-langkah diambil bagi mengatasi masalah ini.

Umum beranggapan bahawa terlalu banyak mata pelajaran yang diajar di sekolah punca beg sekolah berat. Walau bagaimanapun ini tidaklah sedemikian.

Sistem pendidikan semasa amat bersesuaian dan mencukupi bagi mengimbangkan generasi kini dengan kemajuan global. Oleh itu kita tidak harus mempertikaikan tentang banyaknya pelajaran di sekolah punca banyaknya buku dipikul oleh pelajar itu. Isu sekarang ialah bagaimana kita hendak mengatasi masalah beg berat sementara menuggu sistem pendidikan berkomputer diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan bagi generasi akan datang.

Baru-baru ini ada pula menyatakan bahawa akibat ibu bapa membekalkan makanan kepada anak-anak mereka daripada membeli makanan di kantin sekolah menambahkan lagi kepada masalah ini. Walaupun terdapat ibu bapa yang tidak membekalkan makanan untuk anak-anak mereka, beg sekolah tetap berat juga.

Jika dua belah pihak, Kementerian Pendidikan dan ibu bapa mengambil langkah-langkah yang rasional kita boleh mengatasi masalah beg sekolah berat tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.

Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan mengkaji semula pengeluaran buku teks atau buku kerja yang digunakan oleh pelajar. Buku teks yang menggunakan kertas putih bond yang beratnya di antara 70 gram hingga 100 gram memang kelihatan menarik dan jelas. Walau bagaimanapun dengan beberapa buku teks bagi beberapa mata pelajaran boleh menyebabkan beg sekolah menjadi berat.

Kertas yang digunakan dalam buku-buku teks dan buku kerja boleh digantikan dengan kertas newsprint atau kertas yang telah dikitar semula. Mungkin buku teks tidak sesuai menggunakan kertas jenis newsprint tetapi kadar berat kertas boleh dikurangkan kepada 70 gram dan semua buku kerja yang digunakan oleh pelajar boleh digantikan dengan kertas newsprint. Buku kerja yang digunakan oleh pelajar di sekolah adalah semata-mata untuk membuat latihan dan ia memadailah dengan kertas jenis newprint.

Buku-buku yang dicetak dengan kertas newsprint ini tidak seharusnya dilihat sebagai tidak bermutu. Matlamat utama kita ialah untuk menyampaikan ilmu dan mengatasi masalah beg berat serta keselesaan pelajar itu sendiri. Buku yang dicetak walaupun tidak berkualiti tetapi ia adalah jauh lebih ringan dan murah untuk diperoleh. Kementerian Pendidikan juga seharusnya memilih penerbit buku tempatan yang berwibawa untuk menerbitkan buku-buku sedemikian rupa dan selaras buku kerja yang dikeluarkan oleh penerbit ini bagi kegunaan di sekolah seluruh negara.

Buku kerja yang digunakan oleh pelajar di sekolah pada masa sekarang berdasarkan kepada selera guru-guru besar sekolah. Ini menyebabkan terdapat penerbit bersaing di antara mereka dengan mengeluarkan buku-buku yang mempunyai ciri-ciri yang menarik sama ada menarik pada bahagian kulit atau bahagian dalamnya. Buku kerja kelihatan tebal, berkualiti dan cantik tetapi kandungan adalah sama bagi semua buku kerja yang diterbitkan oleh penerbit jika kandungannya berlandaskan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Persaingan di kalangan penerbit ini juga menyebabkan ada penerbit yang sanggup menawarkan ganjaran sagu hati seperti potongan harga atau komisyen kepada guru besar jika buku terbitan mereka itu dipilih. Akhirnya kos buku adalah tinggi dan ia ditanggung oleh ibu bapa sedangkan beban berat buku ditanggung oleh pelajar.

Pilihan alternatif bagi Kementerian Pendidian ialah membahagikan sukatan pelajaran kepada dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B untuk setahun. Ini bermakna buu-buku teks dan buku kerja dalam dua bahagian. Pelajar hanya perlu membawa buku-buku dalam bahagian A untuk digunakan sepanjang semester pertama. Membahagikan sukatan dan buku teks serta buku kerja kepada dua bahagian, Kementerian Pendidikan masih boleh mengekalkan penggunaan kertas putih bond bergram dan buku kerjanya tetap dicetak dalam newsprint.

Kos mendapatkan buku-buku bahagian A dan bahagian B akan meningkat namun penerbit yang terpilih dan jumlah pengeluaran percetakan besar oleh penerbit itu boleh pecah sama rata (break even) kos dan harga buku walaupun dua bahagian akan kembali kepada harga asal atau kurang lagi dan mampu dibeli.

Ramai di antara kita akan bersetuju dan berpuas hati dengan cara mutu pengeluaran buku teks dan buku kerja secara begini. Soal jumlah pelajaran yang dipelajari oleh anak-anak kita di sekolah tidak timbul. Kementerian Pendidikan harus peka dengan situasi ini kerana bukan sahaja pelajar itu sendiri yang menghadapi masalah dengan beg berat malah ibu bapa juga menjadi mangsa apabila anak-anak meminta ibu bapa membawakan beg sehingga ke bilik darjah sekolah atau apabila anak-anak ini berkerenah tidak mahu ke sekolah dengan alasan beg berat. Bagi kanak-kanak yang kurang sihat akan turut terjejas kesihatan mereka apabila terpaksa memikul beg yang berat.

Mengenai bekalan makanan yang dibawa oleh anak-anak ke sekolah daripada memilih untuk tidak membeli makanan di kantin tidak harus dipertikaikan. Usaha ibu bapa menyediakan makanan untuk anak-anak mereka harus digalakkan. Makanan yang dibawa tidaklah berat mana. Jika dilihat dari segi kesan psikologi terhadap anak itu adalah jauh lebih baik. Ingatan dan kasih sayang ibu terhadap anak itu terjalin.

Segala larangan dan nasihat ibunya dikenangi anak ketika menjamu selera makanan yang telah dibekalkan justeru ingatan itu akan menjauhkan anak itu cari segala gejala sosial yang terdapat di sekolah. Ia juga menjimatkan kos perbelanjaan ibu bapa yang berpendapatan rendah atau mempunyai bilangan anak yang ramai dan sudah pasti menjamin makanan.

Kita juga harus mengambil kira beg sekolah yang ada dalam pasaran. Terdapat banyak beg sekolah yang sedia berat, bertambah dengan buku sudah tentu menjadi lebih berat. Satu pilihan yang bijak ialah memilih beg yang seringan-ringannya. Jika ibu bapa mendapati beg sekolah anak-anak mereka berat digalakkan tukar kepada beg yang ringan sementara menunggu Kementerian Pendidikan melakukan perubahan-perubahan yang sepatutnya. – RAMLI ABDULLAH, Selayang, Selangor.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm#ixzz35nP0Rm8R 
© Utusan Melayu (M) Bhd

Newsletter Powered By : XYZScripts.com